3 MAC: Perpecahan dalam gabungan pembangkang, Pakatan Harapan (PH) mendorong Ahli Parlimen Julau, Larry Sng bertindak keluar PKR, baru-baru ini.
Memetik wawancara beliau bersama portal Sin Chew Daily Pocketimes, semalam, Larry berkata dalam situasi itu, PH tidak akan mampu menawan kembali Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Adakah kamu rasa PH ada harapan untuk kembali berkuasa jika saya terus kekal dalam PKR?
“Tak mungkin PH dapat Putrajaya meskipun ada 10 anggota parlimen masuk parti itu,” katanya.
Larry mendedahkan, krisis itu wujud akibat perbezaan antara parti Pejuang pimpinan Tun Mahathir Mohamad, PH yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Parti Warisan Sabah diterajui Datuk Seri Shafie Apdal.
Katanya, beliau terpaksa mengambil pendirian itu kerana merasakan tidak dapat menunaikan janjinya untuk membangunkan kawasan parlimennya jika masih menjadi ahli PKR biarpun pada awal tidak ingin berbuat demikian.
“Pendirian saya mudah, saya tidak dapat tunaikan janji sebab itu saya kena pergi. Tiada lagi masa lebih baik untuk tinggalkan parti.
“Meskipun ramai meluahkan rasa tidak senang atas tindakan ini, tetapi pengundi di Julau gembira atas keputusan saya,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon menafikan dakwaan beliau menerima RM20 juta sebagai habuan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN)
Beliau turut menafikan tuduhan memburukkannya dengan mengaitkan dirinya berkaitan isu ‘lari cukai’.
Malah, katanya, beliau sanggup bekerja tanpa gaji jika dia diberikan peluang oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berkhidmat kepada rakyat di Tebrau.
“Saya juruaudit profesional. Bagaimana saya ingin berkhidmat jika ditangkap kerana tidak bayar cukai.
“Bukan saya berpaling tadah daripada PKR tetapi parti itu yang memecat saya,” katanya seperti dipetik laporan China Press.
Steven berkata, beliau kemudiannya memutuskan bertemu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selepas melihat keadaan kawasan parlimennya tidak maju.
Media sebelum ini melaporkan, Larry dan Steven menyatakan sokongan kepada kerajaan PN yang dipimpin Muhyiddin.
Kedua-dua mereka turut menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri adalah usaha untuk bergerak ke hadapan bagi membantu rakyat menghadapi tempoh sukar akibat pandemik COVID-19,
Pada masa sama, Muhyiddin turut memaklumkan menerima Akuan Bersumpah (SD) daripada dua Ahli Parlimen berkenaan.
SD itu diserahkan kepada Perdana Menteri selepas sesi pemukiman anggota Jemaah Menteri sempena setahun kerajaan PN di Putrajaya.