7 JUN: Pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini jauh lebih baik berbanding dengan kerajaan PH yang dipimpin Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini.
Pensyarah Sains Politik dan Kewartawanan di Universiti Tunku Abdul Rahman, Edwin Michael, berkata ia jelas dilihat apabila kerajaan PN berjaya mengawal keadaan dalam 2 isu kritikal, iaitu isu penularan Covid-19 dan keprihatinan kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat melalui pakej-pakej rangsangan ekonomi.
Jelasnya, 2 perkara ni belum tentu boleh dilakukan sekiranya negara masih lagi ditadbir PH ketika ini.
“Apakah prestasi PN mengecewakan? Saya kata tidak berdasarkan kepada dua perkara utama iaitu kejayaan kerajaan PN dalam mengawal Covid-19 dan juga keprihatinan kerajaan PN dalam menjaga kebajikan rakyat ternyata disambut baik oleh rakyat. Walau ada kelemahannya yang tersendiri, itu tidak membantutkan usaha kerajaan PN dalam menjaga rakyat.
“Adakah rakyat protes secara terbuka dibawah kerajaan PN? Tiada. Rakyat berasa selamat, tidak gusar dan meletakkan kepercayaan penuh kepada pemulihan ekonomi yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan PN. Tidak seperti ketika PH memerintah, saban hari ada saja rungutan rakyat tentang sesuatu keputusan kerajaan yang hanya untungkan kroni dan mereka yang rapat dengan pemerintah,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Tambah Edwin, ia berbeza dengan sikap pemimpin PH yang bekerja untuk kroni, malah lebih teruk apabila melabelkan rakyat sebagai pemalas.
Bukan itu sahaja, di bawah PH juga telah berlaku ketegangan kaum yang paling teruk dalam sejarah politik negara.
“Kerajaan PN bersama-sama Muafakat Nasional (MN) telah membentuk satu perikatan politik yang stabil dan tiada apa-apa konfrontasi dengan kuasa asing yang memberikan pulangan positif dalam sektor pelaburan negara.
“Perikatan parti politik yang stabil, diterima secara terbuka oleh rakyat dan mengutamakan kebajikan rakyat adalah perikatan yang pastinya akan menang dalam PRU15 nanti. PH telah buktikan ianya gagal dalam soal menjaga rakyat dan telah jahanamkan aset-aset negara serta Petronas,” ujarnya lagi.
Dalam hal ini, jelas Edwin lagi tindakan UMNO dan PAS yang membentuk MN bukan sahaja tindakan bijak, malah ia turut memberi kelebihan dalam mendapatkan undi bangsa Melayu serta mengukuhkan politik Melayu yang selama ini retak.
“Gabungan MN bersama Bersatu dan membentuk PN ini dilihat akan terus mantapkan politik Melayu di negara ini. Dalam erti kata lain, hak dan kepentingan masyarakat Melayu akan lebih terjamin tanpa menafikan hak kaum minoriti.
“Kekuatan politik Melayu adalah akar kestabilan sosioekonomi negara ini. Ini terbukti sepanjang 60 tahun negara dibawah BN. Maka dibawah PN kita jangkakan Malaysia akan dapat kekalkan kestabilan politik dan sosio ekonominya,” jelasnya lagi.
Berikutan itu apa yang perlu dilakukan kerajaan PN setakat ini adalah menjaga pentadbiran sebaik mungkin daripada diganggu gugat PH yang selama ini diketuai DAP.
“PRU15 ini lebih kepada menjaga kebun yang bakal berikan hasil tanaman yang baik dan halau babi-babi yang mahu rosakkan tanaman-tanaman ini,” ujarnya lagi. – Oleh ASLINDA NASIR