4 MAC : Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor hari ini menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech sebelum melancarkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Peringkat Negeri di Kota Kinabalu, Sabah hari ini.
Perkara itu dikongsikan Hajiji menerusi Facebook miliknya yang memberi jaminan bahawa vaksin tersebut adalah selamat.
Menurut beliau, program imunisasi menyeluruh ini untuk memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk dalam kalangan komuniti bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19
“Oleh itu marilah rakyat Sabah supaya tampil dan mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera sebagai penerima vaksin.
“Pengambilan vaksin ini amat penting untuk melindungi kita semua termasuk orang tersayang, bersesuaian dengan slogan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan iaitu Lindung Diri, Lindung Semua,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini.
Terdahulu, Hajiji yang berbaju kemeja biru tua tiba di Dewan Serbaguna, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Negeri Sabah di sini kira-kira 10 pagi sebelum mendaftar diri dan ditemu bual petugas kesihatan bagi mengetahui tahap kesihatannya.
Beliau kemudian diberi suntikan vaksin itu kira-kira jam 10 pagi sebelum dipantau selama 15 minit dan kemudian beredar untuk melancarkan program tersebut.
Turut diberi vaksin hari ini ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmy Yahya; Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali dan Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah, Dr Christina Rundi.
Pada majlis itu, 60 penerima vaksin turut diberikan suntikan sebagai simbolik pelancaran program berkenaan.
Dalam majlis tersebut Ketua Menteri Sabah telah merasmikan Dewan Serbaguna Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Negeri Sabah sebagai Pusat Pemberian Vaksin COVID-19 Daerah Kota Kinabalu Sabah.
Dalam pada itu, Hajiji memberitahu, kerajaan negeri Sabah telah menyediakan sebanyak 195 Pusat Pemberian Vaksin di seluruh Sabah yang melibatkan tiga fasa iaitu pertama melibatkan petugas barisan hadapan, bermula pada 27 Februari sehingga April 2021.
“Fasa kedua pada bulan April sehingga Ogos 2021 yang melibatkan warga emas berumur 60 tahun ke atas dan golongan yang berisiko tinggi yang mempunyai penyakit kronik (diabetes, penyakit darah tinggi).
“Fasa ketiga melibatkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas bermula dari bulan Mei 2021 sehingga Februari 2022,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH