Patik mewakili seluruh rakyat jelata merafakkan sembah setinggi-tinggi tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, pada 8 Jun 2020 bersamaan 16 Syawal 1441H.
Patik sekalian mendoakan semoga KDYMM Tuanku akan diberi kekuatan dan keberkatan untuk terus kekal qarar bersemayam di atas Singgahsana Takhta Pemerintahan dengan penuh kebesaran, kedaulatan dan kesejahteraan jua.
Patik juga berdoa ke hadrat Allah SWT mudah-mudahan KDYMM Tuanku dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj serta Putera-putera, Puteri-puteri dan seluruh Kerabat Diraja sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat-Nya, dilanjutkan usia dan sentiasa berada dalam sihat walafiat selama-lamanya.
Dirgahayu Tuanku, Daulat Tuanku.
Menjunjung kasih Tuanku.
TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
Perdana Menteri Malaysia
7 Jun 2020