9 MAC: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan negeri memutuskan untuk mengambil tindakan tegas tanpa kompromi termasuk pengusiran terhadap warga asing yang berada dalam Sabah secara haram.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata tindakan berkenaan penting kerana berdasarkan rekod seramai lebih 600,000 pendatang asing tanpa izin (PATI), terutamanya dari Filipina dan Indonesia telah diusir keluar Sabah, sejak tahun 1990 hingga Mac 2021.
Hamzah berkata ini termasuk hampir 7,000 PATI yang diusir sepanjang tempoh pentadbiran kerajaan Negeri Sabah yang baharu di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Kerajaan negeri juga menegaskan bahawa semua warga asing yang berhasrat untuk berada di negeri Sabah perlu melalui proses imigresen yang sah dan mematuhi lunas perundangan yang telah ditetapkan.
“Dokumen perjalanan warga asing yang sah adalah amat penting pada ketika ini bagi menjayakan inisiatif kerajaan mengekang pandemik COVID-19 melalui pemberian suntikan vaksinasi kepada semua pihak, termasuk warga asing yang terlibat dalam sektor ekonomi dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata kerajaan negeri juga meluluskan peruntukkan khas sebanyak RM500,000 bagi memantapkan pengoperasian di kawasan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE) selepas lawatan Ketua Menteri Sabah baru-baru ini.
Beliau berkata KDN melalui semua agensi serta jabatan dibawahnya akan terus memperkasakan aset-aset keselamatan negara serta dasar-dasar kerajaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keamanan dan keselamatan Sabah terjamin.
KDN juga merakamkan setinggi penghargaan atas kesudian Ketua Menteri Sabah menerima kunjungan hormat delegasi kementerian yang telah berlangsung di Pejabat Ketua Menteri Sabah, Kota Kinabalu pagi tadi.
“Kunjungan hormat ini antaranya telah membincangkan isu-isu keselamatan dalam negeri dan kedaulatan negeri Sabah, terutamanya berhubung masalah PATI yang menjadi kebimbangan rakyat Sabah,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI