10 MAC: Jumlah kes baharu positif COVID-19 di Malaysia kembali meningkat kepada 1,448 kes dengan lima lagi kes kematian dilaporkan hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, dengan pertambahan 1,448 kes baharu berkenaan jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia kini menjadi 317,717 kes termasuk 298,516 kes atau 94.09 peratus (2,137 baru sembuh hari ini) sudah pulih dan 18,009 kes masih aktif dengan kadar kebolehjangkitan tinggi.
Beliau berkata daripada 1,448 kes baharu positif COVID-19, sebanyak 1,438 adalah kes jangkitan tempatan manakala 10 lagi kes import termasuk satu warganegara dan sembilan rakyat asing.
“Kesemua enam kes kematian direkodkan hari ini adalah membabitkan rakyat tempatan manakala 151 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 72 memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 561 kes (38.7 peratus) termasuk 484 kes (86.3 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan, diikuti oleh Johor sebanyak 273 kes (18.9 peratus) dan Sarawak sebanyak 199 kes (13.7 peratus).
Beliau berkata sebanyak 15 kes (1 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan Depot Tahanan Imigresen (DTI) yang membabitkan Kluster Tembok Pengkalan Chepa (5 kes), Kluster Telok Mas (5 kes), Kluster DTI Persiaran Wawasan (2 kes), Kluster Tembok Taiping (1 kes), Kluster Tembok Tapah (1 kes), dan Kluster Tembok Bendera (1 kes).
“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan dua (2) kes di Selangor, dan masing-masing satu (1) kes di Johor, Melaka dan Sabah. Kesemua kes kematian melibatkan warganegara. Kementerian Kesihatan mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI