11 MAC: Terdapat pelbagai kekangan untuk melaksanakan undi 18 tahun, walaupun selepas Dewan Rakyat sudah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019.
Yang di Pertua Dewan Negara Rais Yatim memaklumkan negara masih tidak lagi bersedia untuk membenarkan pendaftaran pengundi seawal usia itu.
Menurut beliau, perkara ini terjadi memandangkan proses untuk mendapatkan senarai bakal pengundi usia 18 tahun turut memakan masa sangat lama.
“Ini soal politik. Walaupun sudah lulus, tetapi memberikan senarai bakal pengundi berusia 18 tahun itu memakan masa yang sangat lama. Ia kena diambil daripada Jabatan Pendaftaran Negara dan senarai konstituensi atau kawasan-kawasan (di seluruh negara).
“Ia sekali gus melibatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan terdedah dengan tempoh masa yang lama. Setelah melihat situasi yang sebenar, undi 18 tahun ini tidak praktikal untuk diadakan pada musim ini,”katanya.
Para 16 Julai 2019, Yang di-Pertua Dewan Rakyat Mohamad Arif Md. Yusof meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi dari 21 tahun ke 18 tahun, pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.
November lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan memaklumkan Dewan Rakyat bahawa pelaksanaan usia layak mengundi baharu dan pendaftaran pengundi automatik dijangka bermula selewat-lewatnya Julai.