Alhamdulillah Kekal Tenang – Azmin
13 MAC: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, memberi bayangan bahawa lebih ramai pemimpin parti pembangkang bakal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Bayangan itu diberikan melalui muat naik statusnya di Twitter, hari ini sejurus Naib Presiden PKR, Datuk Dr Xavier Jayakumar yang mengumumkan beliau keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta merta dan memberi sokongan kepada PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“1 + 1 + 1 + …… dan seterusnya. Alhamdulillah. Kekal tenang,” ciap Azmin di laman sosial itu.
Terdahulu, Xavier dalam pengumuman beliau memberitahu, tindakannya itu ekoran amat kecewa dengan beberapa perkara yang berlaku sejak tahun lalu.
Pada bulan lalu, dua ahli parlimen pembangkang melakukan perkara sama, iaitu Ahli Parlimen Julau, Julau Larry Sng dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon.
Xavier adalah antara pemimpin politik yang disenarai berada dalam kem Azmin semasa pemilihan PKR pada 2018.
Perkembangan terbaharu ini, menyaksikan PKR kini hanya memiliki 35 kerusi parlimen, berbanding 47 kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya umum lepas.