15 MAC: Seramai 458 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata seramai 438 individu daripada jumlah itu dikenakan kompaun, manakala tujuh direman dan 13 dijamin.
“Sebanyak 260 kesalahan direkodkan berkaitan aktiviti pusat hiburan, rentas daerah dan negeri tanpa kebenaran (90), gagal menyediakan peralatan merekod pelanggan (40) dan tidak memakai pelitup muka (26).
“Kesalahan lain yang dikesan adalah tiada penjarakan fizikal (39) serta premis beroperasi melebihi masa dan tanpa kebenaran (3),” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Dalam perkembangan berasingan, Ismail Sabri berkata, pihak berkuasa menahan lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas empat kenderaan darat menerusi Op Benteng semalam.
Katanya, dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 116 bot dan kapal di perairan negara melalui 10 aktiviti penglihatan. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN