16 MAC: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) bantu kerajaan menguar-uarkan manfaat Program Imunisasi COVID-19 (PICK) kepada orang ramai.
Muhyiddin berkata, program vaksinasi antara usaha kerajaan menurunkan kadar jangkitan COVID-19 dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Bagi fasa ketiga yang akan datang nanti, saudara-saudari sebahagian daripadanya.
“Saya mengharapkan bahawa semuanya telah pun mendaftarkan diri untuk divaksin. Saya mengharapkan saudara dan saudari selaku jurucakap kepada pelajar IPT, menguar-uarkan manfaat program vaksinasi ini kepada mereka di luar sana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perutusan Perdana sempena Mesyuarat Perdana Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) secara dalam talian, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri menegaskan (MPPK) adalah sangat signifikan bagi membentuk legasi kepemimpinan dalam kalangan pelajar.
Muhyiddin berkata, platform itu juga dapat melahirkan pemimpin pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) yang berkualiti, berfikiran kritis dan idealis.
Muhyiddin berkata pelajar IPT adalah aset dan modal insan negara yang paling berharga.
“Nilainya bukan sahaja daripada aspek tenaga kerja dan kemahiran selepas graduasi tetapi juga daripada aspek kognitif, iaitu sumbangan idea bernas untuk membantu dan bersama-sama dengan kerajaan memacu pembangunan negara.
“Justeru, saya amat menggalakkan agar peluang dan ruang yang ada dimanfaatkan oleh semua pihak yang terbabit.
“Saya percaya dengan komunikasi secara dua hala antara pelajar dan kerajaan melalui forum MPPK serta diperkukuhkan dengan bakat kepemimpinan dimiliki ahli MPPK, penyelesaian terbaik terhadap isu berbangkit terutama yang berkaitan kebajikan pelajar IPT dapat dicapai,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI