17 MAC : Seorang pemandu e-hailing ditahan polis kerana membuat laporan palsu kononnya disamun dua lelaki bermotorsikal di Taman Ehsan, Gombak.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, lelaki itu ditahan pada hari yang sama dia membuat laporan palsu wang berjumlah lebih RM50,000 yang dibawanya disamun semalam.
“Akibat kejadian itu, suspek mendakwa mengalami kerugian apabila wang tunai RM50,750 serta satu telefon bimbitnya dilarikan suspek dengan jumlah keseluruhan kerugian berjumlah RM51,500,”
“Suspek berusia 35 tahun dalam laporannya mendakwa disamun dua lelaki tidak dapat dipastikan bangsanya yang menaiki sebuah motosikal di Taman Ehsan, Gombak,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Berikutan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak yang dimaklumkan mengenai kes itu menjalankan siasatan dan mendapati suspek telab mengada-adakan cerita.
“Hasil semakan mendapati suspek sudah membelanjakan RM30,750 untuk membiayai perbelanjaan keluarga serta membayar hutang piutang,”
“Suspek yang bekerja sebagai pemandu e-hailing dan menjalankan perniagaan menjual pelitup muka, cecair sanitasi tangan dan sarung tangan getah bersama rakan kongsinya membuat laporan palsu bagi membolehkannya mengaut keuntungan daripada hasil jualan sebanyak RM50,750,” jelasnya dalam kenyataan tersebut.
Arifai berkata, baki sebanyak RM20,000 yang masih dalam simpanan suspek dirampas pasukan penyiasat sebagai bahan bukti dan kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
“Semakan rekod mendapati suspek masih dikehendaki bersabit kes penipuan di Kempas, Johor dan di Kuantan, Pahang pada tahun 2014.
“Suspek diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Kuantan untuk siasatan lanjut bersabit kes penipuan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.