23 MAC: Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang kini disiasat polis berhubung tuduhan mencabul seorang pembantu kedai wanita, dua minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Superintendan Abd Khalid Othman, berkata wanita itu sudah membuat laporan polis pada 16 Mac lalu yang mendakwa ahli politik terbabit bertindak tidak sopan ketika mereka keluar bersama di sebuah pusat beli belah di Subang Jaya.
Dalam laporan polis itu, katanya, wanita terbabit mendakwa ahli politik yang juga ADUN di sebuah negeri di utara Semenanjung berkenaan, meminta untuk bertemu bagi membincangkan isu politik, memandangkan dia juga adalah ahli parti berkenaan.
“Bagaimanapun, pengadu yang berusia 31 tahun ini mengatakan semasa sedang berjalan-jalan pada 8 Mac sekitar 8.40 malam, suspek didakwa secara tiba-tiba cuba memegang tangan pengadu, tetapi ditepis pengadu.
“Kemudian semasa pengadu berada di dalam kereta suspek untuk menuju ke tempat makan, suspek bertindak meraba, menarik bahu dan memegang tangan tetapi ditolak pengadu.
“Walaupun suspek tahu pengadu tidak senang dengan situasi itu, suspek tetap melakukannya, malah suspek mengingatkan pengadu supaya tidak memberitahu sesiapa berhubung kejadian terbabit,” katanya.
Abd Khalid berkata, susulan laporan wanita itu, polis sudah memanggil ADUN terbabit untuk membantu siasatan pada 18 Mac.
Katanya, ADUN berkenaan hadir untuk memberikan keterangan kepada polis.
“Polis sedang menyiasat kes ini di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, Undang-Undang berhubung kesalahan menggunakan kekerasan untuk memalukan kesopanan seseorang,” katanya.