23 MAC: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempertingkatkan kawalan keselamatan di kawasan panas, susulan tindakan Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia dan mengeluarkan kenyataan negara ini perlu bertanggungjawab di atas akibat kerana mengekstradisi warganegaranya ke Amerika Syarikat (AS).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata pengarah di Bukit Aman dan Ketua Polis Negeri diarahkan mengambil pendekatan secara berhati-hati dan memantau perkembangan semasa bagi menghadapi pelbagai kemungkinan hasil tindak balas Korea Utara.
“Apa yang berlaku bukannya kerana Malaysia memusuhi mereka, sebaliknya negara itu sendiri yang memutuskan hubungan diplomatik dengan kita.
“Saya mengarahkan pengarah Bukti Aman dan Ketua Polis Negeri untuk meningkatkan kesediaan dan memantau jika berlaku perkara tidak baik.
“Kita akan memantau perkembangan kemelut yang berlaku ini sehingga keadaan benar-benar reda,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Korea Utara pada 19 Mac lalu, memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia selepas seorang rakyatnya yang menetap di negara ini, Mun Chol Myong, diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) untuk menghadapi pertuduhan kes pengubahan wang haram.
Susulan keputusan itu, Malaysia mengarahkan semua kakitangan diplomatik dan ahli keluarga mereka di Kedutaan Korea Utara, Kuala Lumpur meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam mulai tarikh sama.
Menurut satu kenyataan kementerian luar Korea Utara seperti disiarkan agensi beritanya KCNA, Malaysia dianggap sudah melakukan ‘jenayah tidak boleh dimaafkan’ dan menghantar rakyatnya yang tidak bersalah ke AS secara paksaan.
Kaunselor Kedutaan Korea Utara di Malaysia, Kim Yu-Song berkata, sebelum berlepas pulang ke negara itu, berkata pihak berkuasa Malaysia perlu bertanggungjawab sepenuhnya dan akan menanggung semua akibat daripada tindakan terbabit, sehingga terjejasnya hubungan dua hala