23 MAC: Setelah beberapa hari mencatatkan penurunan, angka kes baharu harian COVID-19 di Malaysia hari ini menunjukkan peningkatan sebanyak 1,384 kes berbanding semalam iaitu, 1,116 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu membabitkan 1, 375 kes tempatan dan sembilan kes import, menjadikan jumlah kumulatif kes positif wabak itu meningkat kepada 335, 540.
“Selangor terus mencatatkan jumlah kes harian tertinggi iaitu 625, diikuti Johor 161 kes dan Sarawak 140 kes.
“Selain itu, Perlis masih tiada kes baharu dilaporkan hari ini dan semalam Putrajaya yang mempunyai lima kes berjaya mencatatkan sifar kes pada hari ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini.
Dalam pada itu, Noor Hisham memberitahu jumlah kes sembuh baharu dilaporkan sebanyak 1, 058 menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh akibat pandemik itu melonjak kepada 319, 842 atau 95.32 peratus daripada keseluruhan kes.
“Kes kematian baharu dilaporkan enam kes, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat Covid-19 kini 1,244 kes.
“Jumlah kes yang berada di unit rawatan rapi (ICU) ketika ini pula adalah seramai 148 orang termasuk 62 yang memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH