24 MAC : Seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) diseru untuk mempasakkan tekad dan membulatkan iltizam dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik, demi kemaslahatan agama, bangsa dan negara yang tercinta.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata setiap anggota dan pegawai polis perlu memperbaharui sumpah taat setia dan janji untuk mempertahankan kedaulatan negara, menjaga kesejahteraan masyarakat dan memelihara integriti pasukan.
Dalam masa sama, beliau turut menyanjung tinggi pengorbanan setiap anggota di samping berbangga dengan semangat yang dipamerkan oleh setiap warga pasukan dalam memikul amanah dan menjadi sandaran harapan masyarakat untuk membendung penularan COVID-19.
“Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga PDRM yang telah memerah keringat dan bergadai nyawa, demi memastikan kesejahteraan masyarakat dan keamanan negara kekal terpelihara.
“Kesiapsiagaan pasukan dalam menjalankan tugas dalam norma baharu dan terdedah dengan risiko jangkitan, adalah bukti nyata kesanggupan kita mengetepikan keselamatan diri sendiri, demi melindungi masyarakat daripada ancaman wabak maut tersebut.
“Semoga setiap pengorbanan yang kita curahkan dengan penuh rasa kecintaan, kesungguhan dan keikhlasan pada jalan jihad ini, akan mendapat ganjaran yang setimpal dari Yang Maha Esa. InsyaALLAH,” katanya menerusi perutusan sempena Hari Polis ke-214, hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Hamid merakamkan kesyukuran dapat melaksanakan sambutan Peringatan Hari Polis ke-214 walaupun dalam skala kecil bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang digariskan oleh Kerajaan.
Beliau turut mengucapkan terima kasih dan menghargai setiap pesara polis yang sebelum ini banyak jasa dan sumbangan bakti telah diberikan dalam menjaga nama baik dan integriti pasukan keselamatan itu.
“Tarikh keramat 25 Mac juga, mengangkat jasa serta pengorbanan para pesara polis yang telah sekian lama mengabdikan diri, berkhidmat kepada masyarakat, negara dan Pasukan
“Bagi rakan-rakan yang telah terlebih dahulu pergi meninggalkan kita, sama-samalah kita berdoa semoga pengorbanan mereka akan dirahmati dan roh mereka ditempatkan bersama para syuhada dan solihin,” katanya.
Justeru, Abdul Hamid mengharapkan kerjasama daripada seluruh pihak dalam membantu pasukan polis amat diperlukam khususnya dalam mencari titik noktah menyelesaikan pandemik COVID-19.
“Kekal dengan tema Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada, PDRM amat menghargai segala sokongan dan kepercayaan yang telah diberikan kepada Pasukan, selama ini.
“Sesungguhnya, kerjasama berterusan daripada seluruh rakyat Malaysia amat diperlukan, lebih-lebih lagi dalam usaha kita mencari titik noktah kepada pandemik COVID-19, sekali gus membolehkan kita kembali menjalani kehidupan seperti sedia kala,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH