Tiada kerjasama UMNO-PKR pada PRU 15 – Zahid
24 MAC: UMNO tidak akan bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, demikian tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Menurutnya, parti itu hanya akan menjalinkan kerjasama dengan rakan komponen di bawah Barisan Nasional (BN).
Katanya, UMNO tidak mempunyai sebarang perbincangan bersama PKR berhubung kerjasama pilihan raya dan sebarang perjanjian hanya akan diterokai selepas PRU.
“Perkara ini sudah seminggu selepas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kedua-dua parti mempunyai perbincangan.
“Benar, saya dan Anwar ada terserempak di Parlimen dan majlis perkahwinan, tetapi tiada perbincangan berkaitan perkara berkenaan walaupun secara formal dan tidak formal.
“Bukan sahaja dengan saya, malah dengan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan,” katanya seperti dilaporan akhbar The Star.
Ditanya jika ada pemimpin UMNO bertemu dengan Ahli Parlimen Port Dickson itu, beliau menjelaskan, perkara terbabit perlu ditanya kepada Anwar, termasuk dengan siapa perbincangan dijalankan.
Ahmad Zahid berkata, UMNO tidak membenarkan sebarang wakil untuk mengadakan rundingan seperti itu.
Mengulas lanjut, katanya, UMNO adalah sebahagian daripada gabungan BN sejak dibentuk pada 1973 dan bermula saat itu parti terbabit bertanding di bawah panjinya dalam setiap pilihan raya.
“Sama ada UMNO berhasrat untuk bekerjasama dengan PKR, semuanya selepas PRU Ke-15 dan segalanya mempunyai kemungkinan.
“Tetapi buat masa sekarang, tiada perbincangan bukan sahaja dengan PKR, tetapi juga DAP dan Pakatan Harapan (PH).
“BN pada ketika ini terdiri daripada empat parti iaitu UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS),” katanya.
Pada 19 Februari lalu, UMNO mengeluarkan keputusan bahawa parti itu tidak mahu meneruskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU Ke-15, namun kebersamaan dalam Perikatan Nasional (PN) boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.
Anwar pula pada 17 Mac lalu, mendedahkan wujud perbincangan tidak rasmi antara pemimpin UMNO dan PKR.
Menurut Anwar, perbincangan awal itu melibatkan pimpinan kedua-dua parti dan hasilnya menunjukkan perkembangan positif.