24 MAC: Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) menyasarkan awal April ini bagi melancarkan percubaan penerbangan pertama helikopter robotik Ingenuity ke Marikh.
Bob Balaram, Ketua Jurutera Helikopter Marikh di Makmal Pendorong Jet, berkata pada masa ini, helikopter ultra ringan yang dikendalikan secara Kawalan itu masih berada di perut kenderaan jelajah Perseverance rover yang mendarat di Planet Marikh pada 18 Februari lalu.
Katanya, pada Ahad lalu, Perseverance menjatuhkan sisa-sisa perisai yang melindungi Ingenuity ketika berlakunya pendaratan dan kenderaan itu sedang menuju ke tapak penerbangan di mana Ingenuity akan dilancarkan.
“Apabila tiba di sana, ia akan mempunyai tempoh 30 sol Marikh yang bersamaan dengan 31 hari Bumi untuk menjalankan misinya.
“Tekaan kami adalah pada 8 April untuk penerbangan pertama, namun kemungkinan beberapa hari awal atau lewat,” katanya.
Balaram berkata, buat pertama kali, Ingenuity membawa sehelai kain kecil menutupi salah satu sayap pesawat pertama saudara Wright yang dilancarkan melalui penerbangan berkuasa pertama di bumi Kitty Hawk pada tahun 1903 untuk memberi penghormatan kepada pencapaian itu.
Ingenuity akan terbang di atmosfera dengan satu peratus ketumpatan Bumi yang menjadikan data angkatan lebih sukar tetapi akan dibantu graviti satu pertiga planet Bumi.
Penerbangan pertama itu, katanya, akan membabitkan pendakian dengan kecepatan sekitar satu meter sesaat hingga mencapai ketinggian tiga meter, berlegar-legar selama 30 saat, kemudian turun kembali ke permukaan.
Beliau berkata, Ingenuity akan mengambil fotografi resolusi tinggi ketika terbang.
Sebelum itu, katanya, Ingenuity perlu ditempatkan di tapak pelancarannya dan diletakkan secara menegak, membabitkan satu proses yang akan memakan masa selama beberapa hari lagi.
“Selepas Perseverance menurunkan helikopter itu, kenderaan terbabit perlu beredar sejauh lima meter dalam masa 25 jam supaya tidak membayangi Ingenuity.
“Itulah tempoh masa bateri Ingenuity dapat menjalankan pemanasnya tanpa perlu dikuasakan semula melalui panel solarnya.
Bahagian itu sangat penting untuk bertahan pada suhu waktu malam yang boleh turun serendah minus 90 darjah Celsius,” katanya.