23 MAC: Angka kes baharu harian COVID-19 di Malaysia kembali mencatatkan penurunan apabila Kementerian Kesihatan (KKM) hanya mengesan 1,268 kes hari ini berbanding 1,384 kes semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu membabitkan 1,263 kes tempatan dan lima kes import, menjadikan jumlah kumulatif kes positif wabak itu meningkat kepada 336,808
“Selangor terus mencatatkan jumlah kes harian tertinggi iaitu 490 kes namun lebih rendah berbanding semalam iaitu 625 kes. Ini diikuti Sarawak sebanyak 141 dan Johor 135 kes.
“Selain itu, walaupun Putrajaya yang mencatatkan sifat kes semalam namun hari ini telah mencatatkan kes baharu iaitu sebanyak enam kes manakala Perlis masih kekal dengan sifar kes pada hari ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini.
Dalam pada itu, Noor Hisham memberitahu jumlah kes sembuh baharu dilaporkan sebanyak 1,083 menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh akibat pandemik itu melonjak kepada 320, 925 atau 95.30 peratus daripada keseluruhan kes.
Namun, apa yang membanggakan, beliau berkata, kes kematian baharu turut mencatakan penurunan di mana hanya dua kes dilaporkan hari ini berbanding semalam enam kes.
“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat Covid-19 kini 1,246 kes atau 0.37 peratus daripada keseluruhan kes.
“Jumlah kes yang berada di unit rawatan rapi (ICU) ketika ini pula adalah seramai 161 orang termasuk 73 yang memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH