25 MAC : Seorang bekas timbalan pendakwa raya (TPR) sedang dicari Polis Johor bagi membantu siasatan sindiket penggubahan wang haram serta jenayah komersial.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Md Azar Izwan Mohd Arifin, 42, dikehendaki polis bagi membantu kes pengubahan wang haram membabitkan Pengasas Winner Dynasty Group, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee, 33 tahun.
“Datuk Seri Nicky masih bebas. Ada seorang lagi suspek dicari Md Azar Izwan. Suspek yang juga bekas timbalan pendakwa raya beralamat terakhir di Puchong, Selangor.
“Saya minta individu atau keluarga yang tahu kedudukannya boleh berhubung dengan pegawai polis, Asisten Superintendan V Prakash di talian 012-5209767.
“Suspek ini salah seorang memainkan peranan penting dalam sindiket membabitkan Datuk Seri Nicky Liow. Suspek dicari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 130 V hingga 130 ZB Kanun Keseksaan bagi kesalahan kumpulan jenayah terancang,” katanya sidang media selepas Sambutan Hari Polis ke 214 di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Johor, hari ini.
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata sehingga kini polis menahan 92 individu ditahan dalam beberapa siri serbuan di Puchong bagi membantu kerana terbabit dengan kes penggubahan wang haram dan komersial terbabit.
Katanya, daripada jumlah itu, 40 individu ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) manakala bakinya dibebaskan selepas didapati tidak terbabit secara langsung dalam kes terbabit.
“Saya tidak boleh berkongsi perincian lanjut mengenai operasi di Puchong, kerana masih ada suspek akan ditangkap. Ini kes besar membabitkan pengubahan wang haram dan jenayah komersial,” katanya.