25 MAC: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menerima suntikan dos kedua vaksin COVID-19 di Dewan Serbaguna, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan (PPKP) Sabah, hari ini.
Beliau tiba di PPKP kira-kira jam 8.50 pagi sebelum mendaftar diri dan ditemu bual petugas kesihatan.
Hajiji kemudian ke stesen kaunseling dan persetujuan imunisasi sebelum ke bilik pemberian vaksin COVID-19 kira-kira pukul 8.56 pagi untuk menerikan suntikan dos kedua vaksin jenis Pfizer-BioNTech itu.
Selesai dipantau lebih 20 minit, beliau beredar dari pusat itu.
“Saya berharap rakyat Sabah supaya mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera atau berhubung dengan Pejabat Daerah masing-masing,”katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, Hajiji berkata, kerajaan giat melakukan kempen ke kampung di seluruh Sabah bagi memberi penerangan mengenai pengambilan vaksin.
“Mungkin di Sabah agak lambat sikit kerana ramai rakyat kita yang tinggal di luar bandar dan jauh di pedalaman.
“Saya yakin mereka juga peka dan mempunyai kesedaran tinggi untuk mendapat suntikan vaksin sebagai imuniti terhadap jangkitan COVID-19,” katanya.