25 MAC: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikenakan di dua Kampung di Kota Belud, Sabah iaitu Kampung Lebak Moyoh dan Kampung Siasai Tamu, Kota Belud bermula esok.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PKPD dilaksana selepas Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan situasi peningkatan kes positif COVID-19 dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti yang tinggi di dua kampung terbabit.
Menurut beliau, sehingga kini, KKM telah melaksanakan 89 ujian saringan ke atas kontak di Kampung Lebak Moyoh dan daripada jumlah itu, sebanyak sembilan kes positif COVID-19 direkodkan.
“Manakala, bagi Kampung Siasai Tamu, sebanyak 77 ujian saringan telah dilaksanakan dan tujuh kes positif telah dilaporkan di lokaliti ini.
“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Lebak Moyoh dan Kampung
Siasai Tamu, Kota Belud, Sabah bermula 26 Mac 2021 hingga 8 April 2021 ini.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya menerusi kenyataan harian laporan COVID-19, hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu PKPD di Kampung Sinsingon dan Kampung Lotong,Nabawan, Sabah akan ditamatkan tengah malam ini seperti dijadualkan.
Beliau berkata perkara itu diputuskan selepas menilai data Kementerian Kesihatan (KKM), selain menjalankan penilaian risiko bersama pelbagai agensi.
“Kerajaan sebelum ini melaksanakan PKPD di Kampung Sinsingon dan Kampung Lotong,Nabawan, Sabah yang dijadualkan tamat esok, 26 Mac 2021.
“Sehingga kini, KKM melaksanakan 821 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 140 kes direkodkan.
“Pihak KKM mengesahkan terdapat penurunan kes dan kluster adalah terkawal serta semua kes positif telah menerima rawatan.
“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di PKPD di Kampung Sinsingon dan Kampung Lotong, Nabawan, Sabah pada 26 Mac 2021 seperti yang dijadualkan.,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH