26 MAC : Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan berdepan cabaran menjaga kebajikan golongan miskin bandar, terutama warga Kuala Lumpur di kawasan perumahan kos rendah awam dan swasta, serta penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR).
Justeru katanya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) komited untuk menyediakan perumahan mampu milik yang lebih selesa kepada golongan B40 dan miskin bandar, terutama di kawasan pesat membangun walaupun berdepan cabaran nilai hartanah yang semakin tinggi.
“Dalam menyahut cabaran yang saya sebutkan ini, baru-baru ini kerajaan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan telah melancarkan Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Kuala Lumpur.
“Panduan ini bertujuan membangunkan semula kawasan usang dan tidak ekonomik seperti Perumahan Awam Sri Labuan,” jelasnya.
Muhyiddin berkata demikian pada majlis penyerahan kunci kepada pemilik Residensi Razakmas2 di sini, hari ini.
Katanya lagi, panduan berkenaan juga disasarkan supaya kawasan terbabit berwajah baharu, ‘vibrant’ dan mampu berdaya saing, sekali gus memperbaiki visual dan meningkatkan nilai hartanah setempat.