26 MAC : Pemegang lesen memandu tamat tempoh diberikan kelonggaran selama 60 hari untuk memperbaharui lesen memandu mereka bermula pada 1 April hingga 31 Mei, sebagai salah satu usaha mengelakkan kesesakan di tempat awam.
Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata hanya tertakluk kepada pemilik Lesen Memandu (LM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) Persendirian
Justeru, beliau berkata, pemandu hendaklah memastikan kenderaan mereka memiliki perlindungan insurans yang sah dan menunjukkan salinan sijil perlindungan mereka kepada anggota penguatkuasa trafik sekiranya diminta melihat dokumen tersebut.
“Bagi mereka telah tamat tempoh antara tarikh 1 Februari sehingga 31 Mac 2021 hendaklah memperbaharui LM dan LKM masing-masing dalam tempoh 60 hari bermula 1 April sehingga 31 Mei 2021
“Individu yang LM dan LKM mereka tamat tempoh pada mana-mana tarikh antara 1 April sehingga 31 Mei 2021 hendaklah memperbaharui lesen masing-masing dalam tempoh 60 hari bermula 1 Jun sehingga 31 Julai 2021,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Ka Siong memberitahu bagi pemegang LM dan LKM yang tamat tempoh bagi pengecualian pertama iaitu 1 Februari hingga 31 Mac 2021 hendaklah memperbaharui lesen itu dalam tempoh 60 hari seperti yang dinyatakan, iaitu bermula 1 April sehingga 31 Mei 2021.
“Sekiranya gagal melakukannya, ia akan menjadi satu kesalahan dan tindakan yang berkaitan boleh dikenakan.
” Justeru itu, tempoh sehingga 60 hari diberikan agar orang ramai mempunyai lebih banyak masa dan ruang serta kelonggaran sebagaimana yang diperlukan,” katanya.
Dalam pada itu, Ka Siong menyatakan bahawa pengecualian itu tidak diberikan kepada pemilik Kenderaan Perdagangan dan pemegang Lesen Vokasional (GDL dan PSV)
Tambahnya, ini kerana perkhidmatan pembaharuan yang berkaitan mereka dibenarkan di bawah Jadual Perkhidmatan Perlu (Essential Services) merujuk kepada Jadual Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) 2021.
“Pembaharuan untuk perkhidmatan ini boleh dilakukan di semua kaunter / pejabat JPJ, APAD, LPKP Sabah dan LPKP Sarawak di sepanjang tempoh PKP.
“Semua pusat pemeriksaan kenderaan PUSPAKOM juga adalah beroperasi bagi tujuan menyediakan perkhidmatan berkaitan pembaharuan ini.
” Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa menjadi pemandu berhemah dan mematuhi segala Standard Operasi Prosedur (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang tempoh pelaksanaan PKP,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH