26 MAC : Bekas Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC), Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman, tidak menyalahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana tidak mampu melaksanakan proses pendaftaran pemilih automatik dan Undi-18 dalam masa terdekat.
Ab Rashid yang juga bekas Pengerusi SPR berkata, beliau faham proses pendaftaran pemilih automatik dan Undi-18 hampir mustahil untuk dilaksanakan sebelum Ogos 2021 berikutan pelbagai kekangan dan masalah dihadapi oleh SPR ketika ini.
Ab Rashid berkata jika SPR mahu melaksanakan pendaftaran pemilih secara automatik dan undi-18 mereka perlu meminda pelbagai undang-undang berkaitan bagi memastikan ia berjalan lancar.
Malah, katanya lagi beliau difahamkan undang-undang berkaitan daftar pemilih secara automatik dan undi-18 berkenaan masih belum diwartakan sehingga kini.
Beliau juga difahamkan terdapat beberapa ‘subsidiary law’ berkaitan undang-undang berkenaan perlu dipinda semula dan memerlukan kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
“Sebab itulah saya katakan SPR sukar melaksanakan proses pendaftaran pemilih dan Undi-18 lebih awal. Jika ia dapat dilaksanakan lebih awal saya percaya banyak masalah baharu akan timbul.
“Masalah utama sekarang adalah kebanyakan mereka berusia 18 tahun ke atas di Malaysia sekarang tidak menetap di alamat seperti tertera pada kad pengenalan (IC) masing-masing.
“Apa yang sepatutnya dilakukan sekarang kerajaan perlu mengadakan satu gerakan khas secara besar-besaran bagi memastikan semua orang menukar alamat tetap pada IC kepada tempat tinggal mereka sekarang bukannya kampung halaman atau tempat kelahiran mereka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ab Rashid berkata demikian ketika mengulas lapor media semalam bahawa SPR
menjangkakan pendaftaran pemilih automatik dan Undi-18 boleh dilaksanakan selepas 1 Sept 2022, setelah menilai semula pelbagai isu yang menjejaskan perancangan dan persiapannya.
Pengerusinya Abdul Ghani Salleh berkata, SPR bersikap realistik dengan perkembangan semasa, yang umumnya masih dalam tempoh perintah kawalan pergerakan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Mengulas lanjut, Ab Rashid berkata tindakan berkenaan perlu kerana secara prinsipnya semua pengguna haruslah mendaftaraan diri sebagai pengundi mengikut lokaliti tempat tinggal mereka bermastatutin sekarang.
Bagaimanapun, Ab Rashid berkata ramai dalam kalangan pengundi di Malaysia mendaftarkan sebagai pemilih di lokaliti atau kawasan berbeza dengan lokasi mereka tinggal atau bermastatutin.
“Sebagai contoh ramai pengundi yang menetap atau bermastatutin di Lembah Klang terutama Kuala Lumpur dan Putrajaya tetapi mereka membuang undi di tempat lain seperti di Kedah, Kelantan dan Terengganu.
“Keadaan ini berlaku kerana kerajaan tidak pernah menguatkuasakan undang-undang bagi mewajibkan setiap individu mendaftarkan diri sebagai pengundi mengikut alamat atau lokaliti tempat tinggal mereka sekarang,” katanya.
Justeru, Ab Rashid berkata kerajaan menerusi SPR perlu memastikan semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas menukarkan alamat pada IC mereka mengikut lokasi terkini mereka tinggal terlebih dahulu, sebelum proses daftar pemilih secara automatik dan Undi-18 dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Saya bimbang jika sistem pendaftaran pemilih secara automatik dilaksanakan secara tergesa-gesa maka akan berlaku masalah longgokan pengundi baharu terlampau ramai di sesuatu pusat daerah mengundi (PDM) berbanding lokasi lain sehingga menimbulkan pelbagai isu besar dan spekulasi negatif seperti kebanjiran pengundi hantu dan sebagainya.
“Jadi apa yang kerajaan sepatutnya buat sekarang adalah menguatkuasakan undang-undang dan peraturan di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara yang mewajibkan setiap individu menukar alamat pada IC jika mereka menetap di sesuatu kawasan lebih daripada 90 hari,” katanya.