26 MAC: Perhimpunan Agung UMNO (PAU) merupakan medan yang terbaik buat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan mengenai desas-desus kerjasama antara parti itu dan PKR.
Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, ini bagi menjelaskan pelbagai khabar angin dan kenyataan yang dibuat pelbagai pihak mengenai perkembangan terbaharu kedua-dua parti itu dalam persediaan menghadapi PiIihan Raya Umum Ke-15 kelak.
“Saya fikir Presiden UMNO mungkin mempunyai peluang yang terbaik sewaktu PAU diadakan kerana akan ada Ucapan Dasar Presiden. Saya faham sememangnya ada kesamaran, tanda tanya, ada berita yang bercanggah.
“Ada yang kata Presiden UMNO ada berbincang dengan PKR. Ada yang kata ada surat dan tandatangan berpakat menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Anwar sendiri kata ada jumpa tapi tiada pakatan. Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula kata perjumpaan biasa-biasa sahaja. Jadi banyak versi, pada saya PAU kali ini adalah peluang terbaik dan eloklah perkara itu diperjelaskan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan rumah kepada 395 pemilik kediaman Residensi Razakmas2, Kuala Lumpur yang disempurnakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.
Annuar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahmad Zahid yang menafikan spekulasi parti itu mungkin bekerjasama dengan PKR pada Pilihan Raya Umum akan datang.
Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang bermula esok akan dilaksanakan secara hibrid selama dua hari selepas setahun ditangguhkan susulan pandemik Covid-19.
Kebelakangan ini desas-desus mengatakan UMNO berkemungkinan menjalin kerjasama dengan PKR semakin kuat dengan Anwar dilaporkan mendedahkan telah wujud perbincangan tidak rasmi antara kedua-dua parti itu.
Namun, Ahmad Zahid berkata, setakat ini tiada perbincangan seumpama itu antara dua parti tersebut.
Beliau menyatakan hanya berjumpa dengan Anwar di Parlimen dan pada majlis perkahwinan namun menjelaskan tiada perbincangan untuk mengadakan kerjasama secara rasmi atau tidak.