28 MAC: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menggunakan TikTok bagi menyeru semua rakyat, khususnya antivaksin supaya segera melakukan pendaftaran bagi mendapatkan vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Dengan menggunakan nama khairykj di aplikasi media sosial itu, beliau yang juga Menteri Penyelaras PICK berkata, vaksin dibekalkan adalah selamat dan menjadi penyelesaian kepada pandemik terbabit yang melanda dunia ketika ini, justeru rakyat tidak perlu meragui untuk menerima suntikan berkenaan.
“Untuk antivaksin di luar sana, lebih 468 juta dos sudah diberikan pada peringkat global dan dibuktikan selamat serta efektif.
“”Ambil vaksin, ini adalah satu-satunya cara untuk keluar daripada pandemik ini,” katanya dalam video aplikasi itu yang turut dimuat naik di laman Twitter, hari ini.
Seruan itu dibuat bagi menggalakkan majoriti rakyat di Malaysia mendaftar dan mendaftarkan imunisasi terbabit, terutama apabila kumpulan antivaksin ketika ini dilihat menjadi ancaman terhadap PICK negara kerana dikesan mengeluarkan dakwaan serta berita tidak benar berhubung keberkesanan vaksin.
Khairy sebelum ini, turut mengeluarkan beberapa kenyataan menyangkal dakwaan itu, antaranya berkaitan teori konspirasi dajal dan One World yang sering dikaitkan pihak tertentu.
Beliau berkata, siri penerangan untuk melawan kumpulan antivaksin juga dilaksanakan di pelbagai platform, sama ada di media massa, cetak atau sosial, bagi memberi keyakinan kepada semua pihak.
Pada 18 Mac lalu, Ahli Parlimen Rembau itu menjadi individu pertama di Malaysia yang menerima suntikan vaksin jenis Sinovac bagi mencegah COVID-19.