29 MAC: Kerajaan akan memberikan vaksin kepada bakal jemaah haji, sejurus Arab Saudi membuat keputusan rasmi berhubung pelaksanaan semula ibadat itu.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19, Khairy Jamaluddin, berkata Lembaga Tabung Haji (TH) akan mengemukakan permohonan dan senarai bakal jemaah haji mengikut jadual.
Katanya, Malaysia juga masih menanti keputusan muktamad Arab Saudi untuk mewajibkan pengambilan suntikan vaksin dalam kalangan bakal jemaah haji.
“Bila diwajibkan, maka kita akan kerjasama dengan TH dan teliti senarai bakal jemaah yang diluluskan untuk mengerjakan ibadat haji tahun ini.
“Bakal jemaah haji ini akan diberikan keutamaan dalam pemberian vaksin,” katanya pada sidang media Perkembangan PICK, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Khairy yang juga merupakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, kerajaan akan turut menumpukan pemberian vaksin kepada pekerja industri berkapasiti besar dan syarikat industri memiliki lebih 5,000 pekerja, terutama yang beroperasi di kawasan merah apabila negara mempunyai bekalan mencukupi.
Beberapa libat urus, katanya, sudah dijalankan, terutama dengan pihak industri dan apabila bekalan vaksin mencukupi, satu perjanjian awam dan swasta akan diadakan untuk memberi tumpuan kepada kategori industri, khususnya di kawasan merah.
“Kerjasama ini akan diumumkan apabila kita muktamadkan bentuk kerjasama dengan syarikat industri terbabit,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, selain industri beroperasi di kawasan merah, tumpuan diberikan terhadap industri yang berada di lokasi berisiko tinggi.
Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sudah menyediakan garis panduan pemberian vaksin mesra alam, bertujuan memandu urusan operasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
“Dengan kehadiran lebih ramai orang di PPV dan penggunaan sumber yang besar, termasuklah pengendalian barang diperolehi, panduan ini adalah satu inisiatif untuk menjadikan pengurusan sumber lebih lestari daripada sudut pengurusan sisa, guna tenaga elektrik dan berkaitan.
“KASA dan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bakal bekerjasama rapat mengenai perkara ini yang menyaksikan kementerian berkenaan akan membantu menasihati CITF dalam panduan itu,” katanya.