30 MAC: Mayat seorang lelaki yang lemas ketika berenang di Sungai Petuang, Jeram Harimau, Tasik Kenyir, sejak Sabtu lalu ditemui jam 7.10 pagi, hari ini.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Said, berkata mayat Ami Azzizol Abu Bakri, 21, ditemui seorang penguasaha rumah rakit terapung di permukaan air pada jarak 1.5 kilometer dari lokasi kejadian.
Katanya, lelaki berkenaan kemudian memaklumkan perkara itu kepada pasukan polis Marin yang meronda di kawasan berhampiran.
“Mayat mangsa diangkat pasukan Bomba dan Penyelamat, sebelum diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan susulan.
“Berikutan penemuan ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan selama tiga hari lalu ditamatkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam kejadian jam 5.50 petang itu, mangsa dari Kampung Sungai Buaya, Dungun yang sedang berbulan madu bersama isteri dan bercuti dengan ahli keluarga mentua, dikatakan berenang di hadapan rumah rakit disewa mereka tanpa memakai jaket keselamatan.
Ketika berenang, mangsa dikatakan mengalami kekejangan otot sebelum tenggelam.