30 MAC : Menteri dan Timbalan Menteri UMNO daripada Kabinet Perikatan Nasional (PN) dijangka tidak akan meletakkan jawatan susulan parti itu mengumumkan keputusan tidak bekerjasama dengan PN utk pilihan raya ke15.
Justeru, Penganalisis Politik, Profesor Madya Dr Kartini Aboo Talib berkata, sebelum berlaku pembubaran parlimen untuk Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15) UMNO masih berada dalam gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Malaysia telah melalui dua kali pertukaran kerajaan dalam tempoh singkat tetapi kelangsungan hidup bernegara dapat diteruskan dengan stabil kerana struktur institusi yang kukuh dan penguatkuasaan yang baik.
“Badan Legislatif dan Badan Kehakiman masih beroperasi dengan baik walaupun Badan Eksekutif menghadapi kemelut politik. Oleh itu, program vaksinasi tidak akan terjejas (walaupun menteri UMNO meletakkan jawatan dalam kabinet) ,” katanya menerusi kenyataan kepada PN BBC Portal, hari ini.
Terdahulu, Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) bersetuju untuk menyerahkan mandat kepada Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk menentap tarikh bersesuaian bagi menarik sokongan secara ‘en bloc’ diberikan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, perwakilan juga bersetuju bahawa Presiden dan MKT boleh membuat keputusan berkenaan pada bila-bila masa dari sekarang jika kerajaan PN tiada indikasi untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) dalam masa terdekat.
Sementara itu, Kartini yang merupakan Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tidak menolak kemungkinan besar Menteri dan Timbalan Menteri UMNO yang tidak menyokong kepimpinan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan melakukan sesuatu tindakan bagi menyedarkan Ahli Parlimen Bagan Datoh itu.
“Kepuakan dalam UMNO bukan lagi rahsia. Sokongan PAS pada PN dan bergabung dengan Menteri-Menteri UMNO yang tidak bersetuju dengan Zahid, maka UMNO akan berhadapan saat getir,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH