30 MAC: Keputusan mengenai hubungan Kerajaan Negeri Sarawak dan dan Kerajaan Persekutuan akan dilakukan tidak lama lagi.
Tanpa menjelaskan secara terperinci tentang keputusan itu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberikan bayangan ia berkaitan dengan tuntutan negeri ini bagi mendapatkan kembali haknya di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Usaha mendapatkan kembali hak Sarawak di bawah MA63 masih kita laksanakan dan diperjuangkan.
“Saya juga yakin bahawa tidak lama lagi kita akan membuat keputusan mengenai perhubungan negeri kita dalam Persekutuan Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis bersama rakyat di Kompleks Sukan Lubok Antu di sini.
Abang Johari memberitahu Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dipimpinnya dan dianggotai empat parti tempatan yang membentuk kerajaan negeri masih kekal sebagai rakan kepada Perikatan Nasional (PN) bagi membantu membentuk kerajaan Persekutuan, tetapi tidak sebagai ahli PN.
“GPS hanya sebagai rakan bukan ahli PN. Dasar kita (GPS) lebih berautonomi, bebas dalam kita membangunkan negeri kita kerana ia sesuai dengan kehendak rakyat negeri kita,” katanya
Bagaimanapun, beliau yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), salah sebuah parti dalam GPS enggan mengulas lanjut berhubung kenyataannya berkenaan keputusan hubungan kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan.
Selain PBB, partii lain dalam GPS yang ditubuhkan pada Jun 2018 adalah Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Terdahulu, Abang Johari tiba di sini kira-kira jam 10.30 pagi dengan menaiki sebuah helikopter dari bandar raya Kuching, kira-kira 260km dari sini, bagi mendengar taklimat daripada pelbagai agensi penguatkuasaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Lubok Antu.