2 APRIL: Tanggal melihat anak bulan Ramadan di Malaysia tahun ini adalah pada petang 12 April, iaitu bersamaan 29 Syaaban 1442 Hijrah.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, memaklumkan Majlis Raja-Raja bersetuju kaedah menetapkan tarikh permulaan puasa berdasarkan Rukyah dan Hisab.
Katanya Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan tarikh permulaan puasa melalui radio dan televisyen pada malam hari sama.
“Cerapan anak bulan akan dilaksanakan jawatankuasa diperkenankan untuk melihat anak bulan di 29 lokasi terpilih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lokasi itu adalah Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Selain itu, Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting; Kuala Langat, Balai Cerap Selangor dan Sabak Bernam, Selangor; Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Manjung, Perak serta Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.
Cerapan turut diadakan di Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar, Alor Setar, Kedah serta Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut dan Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang, Setiu, Terengganu.
Lokasi lain adalah Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai dan Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putra Semerak, Kota Bharu, Kelantan serta Esplanade Luak, Miri; Teluk Bandung, Kuching dan Tanjung Batu, Bintulu, Sarawak.
Pelaksanaan cerapan juga dijalankan di Bukit Tanjong Batu, Nenasi; Gunung Berincang, Cameron Highlands dan Bukit Pelindong, Kuantan, Pahang; Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan, Sabah; Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur: Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis.