12 JUN: Polis perlu siasat pendedahan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, kononnya Tun Dr Mahathir Mohamad, pernah menggunakan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, untuk memujuk supaya beliau menahan Datuk Seri Najib Razak, yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri.
Peguam Adnan Seman berkata tindakan Dr Mahathir berkenaan jelas menunjukkan satu cubaan serius untuk campur tangan dan salah guna kuasa tahap tertinggi.
Adnan berkata tindakan bekas Perdana Menteri ke-7 berkenaan mencalar imej sistem kehakiman dan Gopal Sri Ram sendiri selaku bekas Hakim Mahkamah Persekutuan.
“Apa yang benar-benar mengejutkan rakyat Malaysia adalah bagaimana seorang bekas Hakim Mahkamah Persekutuan boleh membenarkan dirinya dipergunakan oleh seorang pemimpin politik untuk bertemu dan cuba mempengaruhi Peguam Negara bagi menangkap musuh politiknya.
“Ini adalah campur tangan dan salah guna kuasa tahap tertinggi yang bukan sahaja mencalar imej bekas Hakim Mahkamah Persekutuan terbabit tetapi juga kebebasan badan kehakiman dan adalah satu pencabulan prinsip kedaulatan undang-undang “Rule of Law” apabila membuat tekanan ke atas Peguam Negara,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini, Apandi mendedahkan tentang perancangan Dr Mahathir menggunakan pengaruhnya untuk memperalatkan pihak berkuasa menangkap Najib ketika beliau masih menjadi Perdana Menteri.
Pendedahan itu dibuat menerusi catatan dalam laman Facebook beliau malam ini tentang memoir yang sedang ditulisnya. Berikut adalah catatan beliau yang diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu:
Permulaan untuk bab dalam memoir saya! Satu petang pada Januari 2018, Gopal Sri Ram datang ke rumah saya setelah membuat beberapa panggilan telefon kerana ingin bercakap dengan saya sendiri dan secara peribadi.
Mengulas lanjut, Adnan berkata pendedahan Apandi juga pastinya menjatuhkan lagi imej Tun Dr Mahathir di mata rakyat Malaysia.
“Sebelum ini dipersoalkan akibat pendedahan wujudnya campur tangan oleh beliau dan bekas Menteri Kewangan YB Lim Guan Eng ke atas Peguam Negara kes pembekuan akaun seorang taikun tanah yang sedang disiasat SPRM.
“Sehingga saat ini tiada penafian daripada DS Gopal Sri Ram mahu pun Tun Dr Mahathir terhadap pendedahan terbaru yang dibuat oleh Tan Sri Apandi Ali.
Kita tunggu pendedahan seterusnya oleh Tan Sri Apandi Ali,” katanya.