6 APRIL: Proses pembahagian kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS khususnya di Terengganu kini akan menjadi lebih mudah tanpa membabitkan UMNO.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Rosol Wahid berkata, secara logiknya proses pembahagian kerusi Parlimen dan DUN di Terengganu menjadi lebih mudah kerana hanya membabitkan PAS dan PPBM sahaja selepas Umno menolak kerjasama dengan parti dipimpin Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
“Kita tidak akan mengadakan perbincangan dengan UMNO kerana mereka sudah menutup pintu dan kunci (tidak akan) kerjasama dengan PPBM pada PRU-15 nanti.
“UMNO sudah kerat putus (memberikan kata putus) bahawa tiada kerjasama dengan BERSATU. Jadi kita hanya akan mengadakan perbincangan dengan PAS.
“Ini bergantung kepada budi bicara kedua-dua pemimpin dan kita kena ada ‘give and take’ (tolak ansur) dan saya yakin perbincangan dengan PAS akan menjadi lebih mudah kerana hanya membabitkan dua parti sahaja tetapi kalau ada UMNO kita kena bincang tiga penjuru mungkin susah sikit.
“Umpamanya kalau satu guni beras nak bahagi dua pihak mudah sikit berbanding kalau mahu dibahagikan kepada tiga bahagian kepada tiga pihak berbeza,” kata Ahli Parlimen Hulu Terengganu, itu.
Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) di Pasar Tani Mega Putrajaya, hari ini.
Terengganu mempunyai lapan kerusi Parlimen, dengan enam daripadanya dimenangi PAS pada PRU14 iaitu Marang, Kuala Terengganu, Setiu, Kuala Nerus, Dungun dan Kemaman.
UMNO pula menang dua kerusi iaitu Besut dan Hulu Terengganu, namun kerusi Parlimen Hulu Terengganu berpindah menjadi milik BERSATU setelah Rosol mengisytiharkan keluar parti dan menyertai BERSATU.
Mengulas lanjut, Rosol berkata ketiadaan UMNO juga membolehkan BERSATU dan PAS membahagian kerusi Parlimen dan DUN di Terengganu secara lebih adil dan saksama.
“Memang semua parti mahu kerusi yang lebih tetapi kita rasa ruang untuk Bersatu menambah bilangan kerusi Parlimen dan DUN akan ditandingi pada PRU-15 nanti.
“Sebagai contoh BERSATU Terengganu kalau kita tiada calon untuk bertanding baik kita beri kepada PAS jika mereka boleh menang. Matlamat kita bukan hanya politik malah bagaimana untuk memenangi kerusi berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, Rosol juga menyerahkan kepada pucuk pimpinan BERSATU untuk menentukan sama ada beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Terengganu dimenanginya pada PRU-14 lalu atas tiket UMNO.
“Terpulang kepada pucuk pimpinan BERSATU jika mereka mahu saya lawan saya akan terus bertanding. Jika pucuk pimpinan kata saya kena tarik diri saya tidak akan bertanding kerana pada PRU lalu pun saya tidak bertanding.
“Sebagai ahli politik kita jangan terlalu bercita-cita tinggi kalau itu rezeki kita tidak ke mana. Kalau ia bukan rezeki saya tidak akan bertanding pada PRU-15, sebelum ini,” katanya.