11 APRIL : Kesemua bazar Ramadan dan Aidilfitri di Kelantan dibatalkan oleh kerajaan negeri dalam usaha untuk membendung penularan COVID-19 di negeri itu.
Perkara tersebut diberitahu Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Izani Husin menerusi catatan yang dimuat naik di Facebook rasminya, menjelaskan, Program Madinah Ramadan yang sebelum ini dirangka bagi tujuan solat tarawih berjemaah, berbuka puasa dan sahur, serta majlis ilmu, akan ditukar menjadi pusat rawatan dan kuarantin COVID-19 berisiko rendah.
“Ikhtiar ini adalah demi membendung penularan COVID-19. Bazar Ramadan (dan) Bazar Aidilfitri seluruh Kelantan dibatalkan. Madinah Ramadan ditukar menjadi Pusat Rawatan dan Kuarantin COVID-19 Berisiko Rendah (CPRC),” ujarnya.
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob sebelum ini dilaporkan berkata, Bazar Ramadan dibenarkan untuk beroperasi dengan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Selain had dua pelanggan sahaja dibenarkan untuk membeli juadah, jumlah gerai turut dihadkan mengikut tapak keluasan bazar sebagaimana garis panduan Majlis Keselamatan Negara.
Bagaimanapun semalam Kelantan telah merekodkan 171 kes baharu COVID-19, dan satu kluster baharu dicatatkan, iaitu Kluster Bandar Baru Kubang Kerian membabitkan komuniti kerja di Tumpat, Bachok, dan Kota Bharu.