12 APRIL: Tindakan mewajibkan pengambilan vaksin COVID-19 sebelum ke luar negara adalah tertakluk kepada keperluan ditetapkan negara berkenaan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata buat masa ini, pemberian vaksin di negara ini masih secara sukarela.
“Pengambilan vaksin bukan sesuatu diwajibkan tetapi diberi pilihan kepada rakyat.
“Namun, demi kesihatan mereka, kita memohon kepada rakyat untuk ambil lah vaksin,” katanya.
Ismail Sabri berkata, berhubung keperluan ke luar negara, kerajaan belum membincangkannya disebabkan perkara itu tertakluk kepada negara terbabit.
“Kita dapat perkhabaran bahawa untuk musim haji kali ini, jika dibenarakan menunaikan haji, saya difahamkan kemungkinan besar Kerajaan Arab Saudi akan mewajibkan pengambilan vaksin,” katanya pada sidang media selepas sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), hari ini. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN