14 APRIL : Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menahan sebuah kontena membawa bawang merah yang memberi maklumat mengelirukan di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor Bahru, pagi kelmarin.
Pengarah MAQIS Johor, Hizzuan Hasim berkata, pemeriksaan rutin dijalankan pegawai penguasa MAQIS di Pelabuhan Tanjung Pelepas kira-kira jam 11.30 pagi itu mendapati, kontena itu membawa masuk 28,350 kilogram (kg) bawah merah dari Thailand dianggarkan bernilai RM251,194.57.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan lanjut yang dijalankan, kontena tersebut didapati mengemukakan dokumen mengelirukan iaitu maklumat pada dokumen berbeza dengan label pada bawang merah berkenaan.
“Semua bawang merah berkenaan ditahan untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana melakukan pengisytiharan mengelirukan pihak berkuasa,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Hizzuan memberitahu, kesalahan tersebut boleh didenda maksimum RM50,000 atau dipenjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda maksimum RM75,000 atau dipenjarakan maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan
“MAQIS menasihatkan semua pengimport dan pengeksport sentiasa mengikut peraturan ditetapkan kerajaan.
“Ini perlu dilaksanakan sebaiknya supaya kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara di negara ini,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH