15 APRIL: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada dua pelajar muda Malaysia atas kejayaan diterima masuk ke Harvard College iaitu sekolah sarjana bagi universiti terkemuka dunia, Harvard University di Amerika Syarikat (AS).
Dua pelajar itu adalah anak kelahiran Kuantan, Pahang, Muhammad Hamdi Ahmad Hakimi dan Jarell Cheong Tze Wen dari Kuala Lumpur yang bakal memasuki kelas sarjana bagi tahun 2025.
Muhammad Hamdi merancang melanjutkan pelajaran dalam dalam jurusan Ekonomi, manakala Jarell, jurusan Matematik.
Seri Paduka turut menzahirkan suka cita dan bangga atas pencapaian cemerlang pelajar itu yang menjadi antara 1,968 pelajar terpilih ke institusi pengajian tinggi berpengaruh berkenaan, selepas melepasi tahap kelayakan ketat ditetapkan daripada sejumlah 57,435 permohonan dari seluruh dunia.
Kejayaan mereka, titah baginda, sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan individu berkualiti, berwibawa dan bertaraf antarabangsa.
“Kejayaan ini turut membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing serta berjaya di persada antarabangsa,” titah Seri Paduka menerusi Facebook rasmi Istana Negara, hari ini.
Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan semoga kejayaan mereka berdua menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya belia untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing.
“Beta mengucapkan selamat maju jaya kepada Muhammad Hamdi dan Jarell serta mendoakan semoga mereka dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan, malah terus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa pada masa hadapan,” titah baginda.
Kedua-dua pelajar cemerlang itu adalah produk sistem pendidikan kebangsaan dengan Muhammad Hamdi adalah lulusan Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Kuala Lumpur sebelum beralih ke A-Level di Kolej Tuanku Ja’afar di Negeri Sembilan sebagai Cendekiawan Bank Negara Kijang.
Dia adalah pendebat dan memberikan tuisyen kepada pelajar sekolah menengah dengan sering membincangkan pandangan dunia serta pendapatnya mengenai isu masa kini.
Jarell pula menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan A-Level di Sekolah Menengah Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur dan Sunway College, Petaling Jaya.
Selain kehebatan dalam bidang akademik, Jarell pernah mewakili Malaysia pada Sukan SEA 2019 dalam acara Dancesport, bertanding di Olimpik Matematik Pasifik Asia dan bersaing dalam kejohanan catur antarabangsa.