18 APRIL : Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan empat individu yang dipercayai merupakan pelakon dalam video kedua iklan lagu raya yang mempromosikan kegiatan judi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah ketika dihubungi PN BBC Portal memaklumkan semua pelakon terbabit ditahan petang semalam di sekitar Kuala Lumpur.
“Selepas video kedua telah dikesan dan tular di media sosial, kita terus melancarkan pencarian suspek dan hasilnya empat individu ditahan.
“Empat individu terbabit kini kita telah tahan reman selama dua hari bermula hari ini sehingga esok.
“Suspek kita reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana terbabit dalam sebaran video mempromosikan perjudian dalam talian,” katanya.
Terdahulu, PN BBC Portal melaporkan belum pun reda isu penularan iklan hari raya mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian membabitkan pelakon beragama Islam, kelmarin, negara digemparkan lagi dengan satu lagi klip video mengetengahkan konsep sama muncul di media sosial, semalam.
Berdasarkan klip video itu, iklan terbabit dipercayai dikeluarkan sebuah syarikat judi dalam talian berkenaan mengajak orang ramai menggunakan perkhidmatannya untuk meraih wang berganda.
Antara bait lirik yang dipaparkan bersama lagu menerusi iklan terbabit adalah ‘oh diri sedang mencuba di IBC003, aku pun mahu juga IBC003, manalah tahu berjaya, hari raya kita kaya, bersama kita raikan, bila ada kemenangan IBC003, hari raya bahagia’
Lebih memalukan, klip video itu dilakonkan individu beragama Islam lengkap berbaju Melayu dan Kurung.
Justeru, pihak polis sedang mengesan seorang individu yang disyaki merupakan dalang utama mempromosikan dua video iklan raya judi yang menggunakan modus operandi yang sama.
Individu tersebut dikenali sebagai Loh Kee Hoe, 35 yang menetap di Kuala Lumpur itu dikehendaki di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana terlibat dalam penyebaraan video mempromosi judi dalam talian di media sosial.