19 APRIL: Dutch Lady Milk Industries Bhd (DLMI) melantik firma perunding pengurusan projek dan kejuruteraan, Royal HaskoningDHV bagi membangunkan kemudahan pengeluaran terbaharu bercirikan mesra alam di Bandar Enstek, Negeri Sembilan.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat tenusu itu berkata kontrak tersebut meliputi kerja-kerja reka bentuk, pemerolehan, pengurusan pembinaan, pengoperasian dan permulaan kemudahan terbabit selain bantuan pemindahan dari kilang sedia ada di Petaling Jaya, Selangor, ke hab baharu.
Pengarah Urusan DLMI, Tarang Gupta berkata kilang baharu itu dijangka dapat merevolusi proses rantaian bekalan syarikat berkenaan.
Pengalaman serta kepakaran Royal HaskoningDHV itu akan memastikan hab tenusu terbaharu DLMI ini berkelas dunia serta dilengkapi dengan teknologi mesra alam terkini.
“Ini dapat meningkatkan produktiviti bagi penghasilan lebih banyak produk untuk manfaat rakyat Malaysia selain menambah aspek pengambilan susu di masa depan,” katanya.
Menurut syarikat itu, kemudahan berkenaan juga akan memperkasa DLMI untuk mencatat pertumbuhan lebih ketara serta menyumbang kepada ekonomi Malaysia serta sektor tenusu tempatan.
Selain itu, kilang yang dilengkapi kemudahan canggih itu akan turut mempertingkat daya tahan Negeri Sembilan bagi menarik aspek pelaburan serta memberi limpahan manfaat ekonomi ke atas ekonomi tempatan serta para vendor terbabit.