20 APRIL: Tindakan tegas diambil kerajaan Perikatan Nasional (PN) terhadap sindiket dan pihak terbabit dengan iklan judi hari raya yang tular di media sosial, baru-baru ini, membuktikan kesungguhan pentadbirannya dalam membenteras aktiviti terlarang.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Suhaili Abdul Rahman, berkata komitmen ditunjukkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu juga menyaksikan PN sentiasa menjaga sentimen umat Islam.
“Tahniah kerajaan atas tindakan tegas terhadap iklan judi hari raya, malah saya ucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana mengambil tindakan segera terhadap iklan terbabit.
“Malah, terima kasih kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang tampil dengan berani membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu penularan dua iklan dalam bentuk video, sebelum ini yang dilakonkan beberapa individu beragama Islam dan dipercayai didalangi sindiket judi dalam talian sama.
Susulan penularan itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengambil tindakan segera dengan mengarahkan penyedia platform media sosial berkaitan, seperti Facebook, Twitter dan YouTube menurunkan iklan berkenaan atau kandungan tidak menepati piawaian kerajaan.
Pada masa sama, Suhaili menggesa agar pelakunya dihadapkan ke mahkamah dan menerima hukuman maksimum mengikut peruntukan perundangan sedia ada, bertujuan memberi pengajaran kepada semua pihak selepas ini.
“Video itu terang-terang tidak menghormati sensitiviti umat Islam dan perbuatan terbabit turut menghina kedudukan agama Islam, terutama ketika Ramadan yang mulia ini,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN