20 APRIL : Tun Dr Mahathis Mohamad mendakwa orang Melayu mula melahirkan rasa tidak puas hati dan marah kepada Raja-Raja Melayu berikutan pelaksanaan darurat oleh kerajaan sehingga Parlimen tidak boleh bersidang.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata rakyat berasa marah kerana mereka kini hidup menderita selepas negara diletakkan di bawah perintah darurat atas permintaan kerajaan untuk tujuan politik, dan bukan bagi memerangi COVID-19.
Ahli Parlimen Langkawi berkenaan juga mendakwa kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga dikatakan memberikan maklumat tidak mencukupi kepada Yang di-Pertuan Agong sehingga menyebabkan baginda tidak mendapatkan gambaran jelas mengenai situasi COVID-19 di Malaysia, sekarang.
“Kebiasaannya, orang Melayu sukar untuk (menentang institusi Raja), tetapi sudah ada tanda-tanda ke arah itu.
“Mungkin kerajaan tidak sampaikan maklumat cukup kepada Agong, kerana segalanya diletakkan di bahu Agong, apa juga tindakan (kerajaan) dikatakan atas arahan Agong, sebab itu rakyat sekarang tidak seperti biasa, mereka tidak senang dengan keadaan ini.
“Orang Melayu biasa tak derhaka kepada raja. Tapi sekarang… kita dapat ikuti (keluhan mereka) dalam media sosial. Adalah sesuatu yang tidak biasa untuk orang Melayu menentang Raja-Raja kami,” katanya kepada pemberita selepas menghantar permohonan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.
Terdahulu, Dr Mahathir besama, Pengerusi Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat, Khalid Samad, Presiden Amanah, Mohamad Sabu, memasuki Istana jam 3.30 petang sebelum dilihat keluar dari sana sejam kemudian untuk menghantar permohonan kali kedua bagi menghadap Agong di Istana Negara untuk memohon Penamatan Proklamasi Darurat yang dilaksana 11 Januari lalu oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Antara pemimpin pembangkang yang turut hadir terdiri dari PKR, Amanah, DAP dan Pejuang termasuk Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Tian Cua, Ulya Aqamah Husamudin, Hannah Yeoh, Lim Lip Eng, Datuk Marzuki Yahya, Amiruddin Hamzah, Sim Tze Tzin, Maria Chin Abdullah, Fahmi Fadzil.
Mengulas lanjut, Mahathir juga menegaskan cara pewartaan proklamasi darurat pada Januaru lalu oleh kerajaan juga menunjukkan seolah-olah segala pelaksanaan mengenainya adalah dibuat atas perintah baginda sehingga menyebabkan rakyat marah kepada Istana Negara sedangkan nasihat yang diberikan oleh kerajaan adalah tidak tepat.
Berikutan itu, Dr Mahathir berkata adalah penting untuk sentimen rakyat disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memastikan kerajaan tidak membangkitkan lagi isu yang boleh meningkatkan kemarahan rakyat.
Sementara itu, Khalid berkata pihaknya kali pertama menghantar permohonan untuk menghadap Agong pada 26 Mac lalu, namun tiada maklum balas dari pihak Istana sehingga permohonan kedua dihantar hari ini
“Jawatankuasa akan datang lagi (hantar permohonan untuk mengadap) kalau lepas sebulan ke sebulan setengah masih tidak ada jawapan untuk benarkan menghadap, kita akan datang bawa surat lagi dengan bukti tambahan betapa darurat merumitkan. Kita yakin Agong akan setuju untuk kita mengadap sebab kami wakil rakyat jelata,” katanya.