21 APRIL: Kenyataan seorang individu, Mike Yeadon yang mendakwa dirinya bekas ketua saintis firma vaksin, Pfizer, berhubung imunisasi COVID-19 itu berbahaya dianggap tidak benar dan mengarut.
Kolumnis sebuah media, CNHI News Indiana, Kelly Hawes, berkata kenyataan lelaki itu bahawa kononnya sudah terlewat untuk menyelamatkan penerima suntikan vaksin itu kerana mereka akan mati dalam beberapa minggu, manakala segelintitnya mempunyai jangka hayat sekitar dua tahun, tidak tepat.
Katanya, ketika pertama kali beliau menerima kiriman kenyataan itu, apa difikirkannya adalah ‘cerita’ itu direka dan dakwaan tidak masuk akal yang tidak boleh dipercayai.
“Saya tidak pernah mendengar tentang Yeadon, tetapi carian saya di internet menunjukkan dia tidak pernah menjadi ketua pegawai sains di Pfizer, malah menurut pemeriksaan fakta Snopes.com, jawatan itu dipegang seorang lelaki bernama Mikael Dolsten sejak tahun 2010.
“Yeadon bekerja di Pfizer di United Kingdom sebagai naib presiden serta ketua pegawai saintifik untuk unit alergi dan pernafasan sehingga unit itu ditutup pada tahun 2011.
“Secara tepatnya, unit tempat dia bekerja ini tidak ada kaitan dengan vaksin atau penyakit berjangkit, sebaliknya memfokuskan kepada pengembangan ubat untuk merawat asma dan penyakit paru-paru obstruktif kronik,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, satu laporan berita bertajuk ‘EKSKLUSIF – Mantan Pfizer VP: Kerajaan anda berbohong kepada anda dengan cara yang boleh menyebabkan kematian anda’ mengetengahkan cerita berhubung wawancara didakwa antara Yeadon dengan sebuah organisasi, America’s Frontline Doctors.
Dakwaan laporan itu mengandungi kenyataan Yeadon mengenai kemungkinan kempen vaksin akan digunakan untuk “depopulasi besar-besaran.”
Lelaki itu didakwa meminta amaran diberikan kepada setiap orang untuk tidak mendekati vaksin, malah imunisasi berkenaan sama sekali tidak perlu bagi mereka.
Hawes berkata, Reuters turut memaparkan dakwaan bekas rakan rakan sekerja Yeadon yang memberitahu agensi berita antarabangsa itu bahawa mereka seolah-olah sudah tidak mengenali lelaki terbabit kerana seperti bertukar menjadi ‘pahlawan gerakan anti-vaksin’.
Mereka turut menggambarkan Yeadon yang dikenali dulu sebagai individu berpengetahuan dan cerdas.
Yeadon juga kata mereka, selalu bertegas untuk melihat bukti berhubung sesuatu perkara dan sentiasa menghindari publisiti tidak baik. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN