Malaysia antara 5 negara terbaik tangani COVID-19
14 JUN: Malaysia diiktiraf sebagai antara lima negara terbaik di dunia dari segi penerimaan rakyat terhadap usaha kerajaan menangani dan mengawal penularan wabak COVID-19.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Malaysia juga menjadi salah satu negara contoh dalam usaha mengekang wabak berbahaya itu.
Beliau berkata, Perdana Menteri mengambil keputusan besar dan mencabar dalam memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.
Katanya, kerajaan juga melaksanakan kawalan ketat menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan yang bertujuan mengekang penularan wabak dalam komuniti.
“Hasil kerjasama baik seluruh rakyat Malaysia dalam mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan, ia telah membantu kerajaan dalam melandaikan lekuk COVID-19 di negara ini.
“Hari ini memasuki hari ke-89 rakyat Malaysia menjalani PKP, yang pastinya agak sukar pada peringkat permulaannya apatah lagi pandemik terpahat sebagai sejarah kehidupan kita, ada juga antara kita terpaksa menghadapi kawalan yang sangat ketat apabila PKPD diperkenalkan.
“Kerjasama yang diberikan seluruh rakyat serta pengorbanan besar daripada (petugas) barisan hadapan, (hasilnya) kita telah berjaya mengawal jangkitan COVID-19 dengan meratakan lengkung pandemik itu,” katanya dalam sidang media khasnya, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata kebebasan orang ramai di kawasan tumpuan awam seperti Zoo Negara boleh ditarik balik sekiranya dikesan gagal mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Beliau berkata kebebasan diberi kepada rakyat Malaysia ketika ini ini diperlu dipertahankan supaya dapat dinikmati sepanjang masa.
“Saya ada terbaca di media sosial (mengenai ketidakpatuhan SOP di Zoo Negara) dan saya sudah menghubungi Ketua Polis Negara berhubung perkara itu dan beliau akan menghantar pasukan pamatuhan SOP ke sana untuk tindakan segera.
“Saya berharap kebebasan yang diberi tidak bermakna mereka boleh melakukan apa sahaja. Zoo adalah tempat tumpuan membawa keluarga beriadah tetapi SOP mesti dipatuhi. Jika ia dilihat mampu membahayakan keselamatan dan nyawa, kebebasan itu boleh ditarik semula,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI