21 APRIL: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Dr Muhammad Faiz Na’aman hari ini membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Putrajaya berhubung tindakan seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang didakwa menyiarkan tangkap layar hantaran di Twitter dengan memaparkan nombor telefonnya secara terbuka.
Muhammad Faiz yang tiba di IPD Putrajaya pada jam 11 pagi, terlebih dahulu membuat laporan polis sebelum keterangannya diambil dan dilihat keluar pada jam 2.30 petang.
Beliau hadir bersama Naib Ketua BERSATU Bahagian Puchong, Shaik Shaszari Shaikh Suleiman dan dan Ketua Angkatan Muda BERSATU (ARMADA) Bangi, Muhammad Khidhir Jamil.
“Saya membuat laporan polis terhadap kenyataan palsu mengaitkan nama saya yang ditularkan dan turut membabitkan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Individu terbabit berbuat demikian tanpa izin serta berniat memprovokasi agar pengikut media sosialnya menghubungi dan mengganggu saya,” katanya ketika dihubungi.
Kelmarin, Muhammad Faiz dalam satu kenyataan, mendakwa Ahli MKT UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah menyiarkan nombor telefon miliknya kepada umum, dipercayai tidak berpuas hati dengan artikelnya bertajuk ‘Musuh kita COVID & kluster mahkamah’.
Sambil mendakwa wujud pihak tertentu memalsukan kenyataannya dan sengaja ditularkan bertujuan melaga-lagakan akar umbi BERSATU dengan UMNO, selain difitnah di Facebook, Muhammad Faiz berkata, beliau menerima banyak panggilan daripada pihak tidak dikenali, termasuk mesej melalui WhatsApp yang berbentuk ugutan dan mengganggu kehidupannya.
“Saya memberi kerjasama penuh kepada polis sepanjang soal siasat. Sekiranya dipanggil semula untuk melengkapkan siasatan, saya bersedia,” katanya yang turut membuat laporan isu sama secara dalam talian kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).