22 APRIL: Industri mineral negara seumpama mendapat sinar baharu selepas kajian awal oleh Jabatan Mineral dan Geosains mendapati bahawa Malaysia memiliki potensi sumber mineral yang besar sekiranya dapat diusaha hasilkan dengan sebaiknya.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini sudah tentu mampu memberikan impak yang tinggi kepada kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara jika dibangunkan secara bertanggungjawab dan mampan.
Menurut beliau, sumber mineral kini memainkan peranan yang sangat penting kerana hampir semua perkara yang berada di sekeliling memerlukan sumber mineral dalam penghasilan atau pembuatannya.
“Sebagai contoh, jalan raya, bangunan, kereta dan telefon pintar, semuanya memerlukan sumber mineral seperti batu kapur, bauksit, pasir silika, bijih besi dan unsur nadir bumi.
“Contoh-contoh ini menggambarkan bahawa industri mineral sebenarnya begitu dekat dengan kehidupan kita dan kita tidak boleh mengatakan bahawa industri ini tidak penting atau tidak diperlukan.
“Seiring dengan kemajuan pesat dalam era Revolusi Industri 4.0, permintaan terhadap pelbagai jenis mineral terus meningkat dengan begitu drastik sekali,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap bagi merasmikan Kerangka Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 yang turut dihadiri oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri selaku Pengerusi Majlis Mineral Negara, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.
Mengulas lanjut, Muhyiddin memberitahu meskipun kerajaan bersetuju dengan kepentingan mineral dan manfaatnya kepada sosioekonomi, tidaklah bermakna dibenarkan aktiviti dalam industri ini dijalankan tanpa kawalan kerana akan menyebabkan kerosakan kepada alam sekitar dan gangguan kepada kehidupan.
Dalam hal ini, Perdana Menteri menegaskan sebagai Kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab, perhatian yang mendalam akan diberikan terhadap usaha mewujudkan suatu ekosistem industri yang mampu memberi manfaat kepada semua.
“Kerangka Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 (TIM 2021-2030) yang telah dibangunkan ini merupakan agenda baharu negara yang akan menjadi rujukan utama semua pihak berkepentingan bagi memastikan industri ini dapat dibangunkan secara holistik.
“Pada tahun 2030, Kerajaan mensasarkan sumbangan industri mineral kepada Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK akan meningkat kepada RM29 bilion. Dalam hal ini, kerjasama semua pihak yang berkepentingan amatlah diharapkan untuk membangunkan industri ini secara lestari.
“Sesi-sesi konsultasi dan libat urus perlu diteruskan bersama pihak Kerajaan Persekutuan, Kerajaan-kerajaan Negeri, penggiat industri, ahli akademik dan masyarakat awam bagi menggarap idea-idea terbaik dalam membangunkan industri ini,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri memaklumkan agensi-agensi berkaitan juga harus meneliti aspek galakan sama ada dalam bentuk insentif kewangan atau bukan kewangan bagi menyokong perkembangan industri mineral yang bertanggungjawab dan mampan.
Tambah Muhyiddin, Kerajaan juga mengharapkan kolaborasi strategik pelbagai pihak bagi bersama-sama mentransformasi industri ini yang tidak lagi boleh dilihat sebagai suatu industri hanya digerakkan oleh pihak industri tanpa ada sentuhan kepada kehidupan rakyat.
“Para sarjana dalam bidang berkaitan perlu terlibat dengan lebih aktif memberikan buah fikiran, manakala masyarakat awam juga boleh turut terlibat memberikan pandangan-pandangan yang bersifat konstruktif.
“Pertumbuhan industri ini di peringkat pertengahan dan hiliran juga akan membuka peluang pekerjaan kepada lebih ramai tenaga mahir tempatan dan membawa pulangan yang lebih tinggi kepada negara.
“Saya juga yakin kita akan dapat meningkatkan daya saing industri mineral agar setanding dengan industri di negara-negara perlombongan yang maju antaranya seperti Amerika Syarikat, Peranchis, Jepun, China, Australia dan Kanada namun memerlukan kerjasama erat antara Kerajaan, industri, akademia, pertubuhan dan masyarakat umum, “katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH