22 APR: Biarpun prosedur operasi standard (SOP) sudah siap, namun gelembung pelancongan antara Malaysia dengan Singapura dan negara lain terpaksa ditangguh ekoran peningkatan kes COVID-19.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata Malaysia dan kebanyakan negara lain mengambil langkah berhati-hati kerana wujud kebimbangan mengenai tercetus gelombang baharu pendemik wabak terbabit.
“Kami telah mengenal pasti beberapa negara, termasuk Singapura, untuk memulakan gelembung perjalanan tetapi kami perlu menunggu kedua belah pihak membuka sempadannya,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu, Sabah, hari ini.
Mengulas lanjut, Nancy berkata, kementeriannya juga perlu menilai tahap keselamatan sebelum membenarkan pelancong masuk.
Terdahulu, Malaysia hari ini melaporkan 2,875 jangkitan COVID-19, hari kelapan berturut-turut menyaksikan kes harian mencecah lebih daripada 2,000.
Dalam pada itu Menteri Pelancongan, Budaya dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata mereka akan memulakan perbincangan dengan Singapura untuk membolehkan gelembung perjalanan terpencil sementara menunggu sempadan dibuka.
“Salah satu cara untuk menguruskan gelembung perjalanan terpencil adalah dengan membenarkan penumpang dari Singapura melakukan perjalanan dengan penerbangan sewa khas dan untuk mengehadkan lokasi pelancongan yang boleh dikunjungi,” katanya.
Dalam pada itu Jafry berkata, rakyat Sabah kini dibenarkan melakukan perjalanan ke enam zon di negeri ini.
Zon 1 termasuk Kota Kinabalu, Kota Belud, Ranau, Tuaran, Penampang, Putatan dan Papar, sementara Zon 2 merangkumi Beaufort, Kuala Penyu dan Sipitang.
Zon 3 pula termasuk Kudat, Kota Marudu dan Pitas, sementara Zon 4 terdiri dari Sandakan, Beluran, Kinabatangan dan Tongod.
Tawau, Semporna, Lahad Datu, Kunak dan Kalabakan berada di Zon 5, sementara Keningau, Tambunan dan Tenom berada di Zon 6.