23 APRIL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menambah lagi barangan bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 secara berperingkat.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pada permulaan, KPDNHEP senarai baharu itu akan diumumkan tidak lama lagi yang akan ditambah sehingga boleh mencecah 33 jenis barangan.
Jelas beliau, pengumuman 12 jenis barangan sebelum ini hanya sebagai permulaan sahaja.
“Jumlah senarai barangan di bawah SHMMP 2021 akan bertambah dan jumlahnya akan meningkat secara berperingkat.
“Kita baru umum 12 jenis barangan sahaja dan jumlahnya mungkin bertambah hingga 32 atau 33 barangan namun yang pasti akan melebihi 30 barangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Lawatan dan Amanat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke KPDNHEP di kementerian tersebut di Putrajaya, hari ini.
Terdahulu, Alexander pada Isnin lalu memaklumkan, pihaknya telah mengenal pasti sebanyak 12 jenis barangan bagi pelaksanaan SHMMP 2021.
Alexander berkata, barangan harga terkawal itu terdiri daripada ayam, telur ayam, daging dan hasil laut namun, bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub mempersoalkan jumlah barangan kawalan yang disenaraikan oleh KPDNHEP sempena musim perayaan Aidilfitri.
Salahuddin berkata, kerajaan boleh melakukan yang lebih baik berkenaan bilangan barangan terkawal untuk membantu rakyat sekiranya menteri berkaitan menggunakan kuasa yang ada dengan sebaiknya.
Dalam pada itu, Alexander memaklumkan pihaknya belum mengumumkan penambahan barangan itu kerana belum ada lagi tekanan harga terhadap barang-barang tersebut.
Tambah beliau, kementeriannya amat prihatin kepada semua pihak khususnya kepada pengguna dan peniaga di samping akan sebaiknya menjaga kebajikan kedua-dua pihak.
“Kita kena adil juga kepada peniaga, kita harus bagi mereka peluang.Kalau kita sekat dari sekarang, itu akan jadi masalah pada peniaga juga,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH