SOP Aidilfitri Akan Diumum Minggu Depan- Ismail Sabri
23 APRIL: Kerajaan mengesahkan akan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) sambutan Aidilfitri pada minggu depan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini telah membentangkan SOP termasuk takbir, solat Aidilfitri, ziarah kubur dan perkara lain berkaitan sambutan hari raya.
“Kita sedang memperhalusi lagi kerana terdapat beberapa teguran mengenai cadangan JAKIM dan kita akan kemas kini serta tambah baik.
“Minggu depan kita akan umumkan SOP lebih terperinci mengenai sambutan Aidilfitri,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di kementeriannnya di Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri menyatakan
bazar Aidilfitri di seluruh negara dibenar beroperasi hingga jam 2 pagi berkuat kuasa esok berbanding 12 tengah malam sebelum ini.
Beliau berkata, berkata keputusan itu mengambil kira rayuan penjaja berikutan waktu perniagaan ketika ini yang tamat jam 12 tengah malam adalah terlalu singkat.
“Kita dimaklumkan pengunjung mula keluar selepas solat Isyak dan tarawih.
” Jadi, bila kita benarkan mereka beroperasi setakat jam 12 tengah malam waktu berniaga terlalu pendek dan mereka memohon supaya dilanjutkan,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri menegaskan prgerakan rentas negeri masih lagi tidak dibenarkan berikutan merupakan antara penyumbang peningkatan kes COVID-19.
Tambah beliau data daripada Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 38 kluster rentas negeri membabitkan 5,471 kes bagi tempoh 20 Disember 2020 hingga 20 April lalu.
“Pada April sahaja, sebanyak tujuh kluster rentas negeri membabitkan 23 kes direkodkan.
“Kluster rentas negeri ini bukan sahaja mengakibatkan penularan COVID-19 kepada Zon Hijau, malah aktiviti seperti pulang ke kampung, menghadiri majlis sosial juga meningkatkan risiko jangkitan kepada golongan rentan seperti warga emas dan kanak-kanak.
“Kerajaan sedar keputusan ini tidak disukai oleh rakyat, namun ia jalan terbaik memandangkan lonjakan kes harian yang belum menunjukkan trend penurunan, selain bagi mengelakkan negara berdepan gelombang keempat,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH