24 APRIL: Rakyat Malaysia digalak menceburi sektor perladangan di negara ini yang menawarkan pendapatan lumayan dan banyak kelebihan.
Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pada masa ini, sambutan rakyat dalam sektor itu, kurang menggalakkan walaupun pelbagai karnival kerjaya dan iklan dijalankan, termasuk menerusi laman web JobsMalaysia.
“Perladangan kurang menjadi pilihan kerana rakyat beranggapan sektor ini termasuk dalam kategori kotor, berbahaya dan sukar sedangkan banyak kelebihan disediakan, seperti rumah dan kemudahan tambahan, selain pendapatan bulanan mencecah sehingga RM3,000.
“Anak muda yang mungkin tidak ada peluang untuk mendapat pendidikan akademik tinggi dan mereka terjejas pendapatan akibat COVID-19, sepatutnya merebut peluang pekerjaan ditawarkan kerajaan dalam sektor ini,” katanya selepas Program Sumbangan Kepada Asnaf B40 dan anak yatim Parlimen Kuala Nerus di Kuala Nerus, Terengganu, semalam.
Beliau memaklumkan, mereka yang berminat untuk mengisi kekosongan pekerjaan dalam sektor itu, boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman web Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (MPIC), iaitu www.mpic.gov.my, selain syarikat perladangan negara atau melalui JobsMalaysia.
Selain itu, Mohd Khairuddin berkata, MPIC turut memohon mendapatkan kira-kira 32,000 pekerja asing sebagai penuai buah sawit tidak dalam tempoh terdekat.
Katanya, pihak kementerian itu sedang menunggu keputusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Sumber Manusia berhubung perkara berkenaan.