25 APRIL: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Myanmar menerima kesemua tiga usul dikemukakan Malaysia pada Pertemuan Pemimpin-pemimpin ASEAN di Jakarta, semalam, bagi membantu negara itu menangani krisis pemerintahan.
Usul pertama dikemukakan Malaysia, katanya, Myanmar perlu meredakan ketegangan di lapangan dan menghentikan pembunuhan serta kekejaman terhadap orang awam.
Bagi usul kedua, katanya, negara itu perlu membebaskan tahanan politik serta-merta tanpa syarat.
Katanya, bagi usul ketiga, Myanmar harus memberi akses kepada Pengerusi dan Setiausaha Agung ASEAN ke negara itu, termasuk akses kepada semua pihak berkenaan.
“Myanmar memberikan maklum balas yang baik dan tidak menolak ketiga-tiga cadangan Malaysia,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, malam tadi.
Krisis Myanmar menjadi tumpuan utama pada pertemuan itu, selepas junta tentera negara berkenaan menggulingkan kerajaan pimpinan awam pada 1 Februari dan mengisytiharkan perintah darurat selama setahun.
Rampasan kuasa itu mencetuskan bantahan besar-besaran yang kemudian digempur dengan kekerasan, menyebabkan ratusan orang terbunuh setakat ini.
Muhyiddin berkata, secara keseluruhannya, Pertemuan Pemimpin-pemimpin ASEAN yang diadakan semalam, menyaksikan kejayaan dalam usaha semua negara anggotanya menangani krisis di Myanmar.
“Kita telah berjaya. Di luar jangkaan dalam mendapatkan sebarang hasil mesyuarat hari ini.
“Jeneral Kanan Myanmar yang mewakili negara itu ke Pertemuan Pemimpin-pemimpin ASEAN ini, bersetuju keganasan mesti dihentikan,” katanya.
Beliau berkata, selain cadangan Malaysia itu, Myanmar bersetuju dengan idea negara ASEAN lain, termasuk bantuan kemanusiaan dan usaha perdamaian bagi menyelesaikan krisis terbabit.
Hasil mesyuarat itu, kata Muhyiddin, membuktikan beberapa kritikan bahawa kumpulan serantau berkenaan tidak melakukan sebarang usaha dalam membantu negara anggotanya menangani krisis berkenaan adalah salah.
ASEAN, katanya, sangat prihatin dengan perkembangan di Myanmar dan mencari jalan sebaik mungkin untuk menanganinya.
“Pada masa sama, ASEAN akan terus memainkan peranannya dalam membantu mengatasi krisis itu,” katanya.
Ketika lawatannya ke Pertemuan Pemimpin-pemimpin ASEAN itu, Muhyiddin turut mengadakan perjumpaan dua hala dengan rakan sejawatnya dari Vietnam, Pham Minh Chinh.
Selain Muhyiddin, Pertemuan Pemimpin-pemimpin ASEAN itu dihadiri pemimpin utama negara rantau berkenaan, termasuk Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong; Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh; Perdana Menteri Kemboja; Samdech Techo Hun Sen, Sultan Brunei; Sultan Hassanal Bolkiah dan Presiden Indonesia; Joko Widodo.
Thailand, Laos dan Filipina pula diwakili Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan, manakala Myanmar menghantar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing.
Penganjuran pertemuan itu adalah pertama yang diadakan secara fizikal sejak pandemik COVID-19 melanda dunia.
Deligasi Malaysia yang menghadiri Pertemuan Pemimpin ASEAN kali ini tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 ketat seperti dipersetujui Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Indonesia.
Pemerintah Indonesia juga menetapkan semua delegasi perlu melakukan ujian calitan sebelum berlepas ke Indonesia dan menjalaninya sekali lagi selepas tiba di Jakarta.
Semua delegasi Malaysia ke acara itu yang tiba di Malaysia, malam tadi juga perlu menjalani prosedur kuarantin dalam tempoh ditetapkan.